Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
JPM adakan Majlis Ibadah Korban
09/06/2025

 


Sebanyak tiga ekor kerbau telah dikorbankan bagi Majlis Ibadah Korban Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Sehubungan itu, pengagihan daging-daging korban tersebut disampaikan kepada penerima-penerima yang terpilih terdiri daripada kalangan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penerima daripada golongan asnaf fakir miskin yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Aras 2, Bangunan JPM, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Menteri, jemputan-jemputan khas, Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Grand Chamberlain, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan takbir beramai-ramai yang dipimpin oleh Kumpulan Dikir Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan Ceramah Khas bertajuk 'Aidiladha : Pengorbanan dan Kesejahteraan Emosi' yang disampaikan Penolong Ra'es (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk, yang antara lain menggariskan bahawa korban yang dilaksanakan menuntut kepada keikhlasan dan ketaatan.

Menurutnya, apa jua yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala itu adalah yang terbaik di mana tujuan perintah itu adalah untuk memelihara jiwa kita. Melalui ibadah korban terangnya, inilah peluang untuk kita menghakis rasa sayang kepada dunia.

Majlis seterusnya diikuti dengan pengagihan daging-daging korban oleh tetamu kehormat bersama majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dikepalai oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin.

Ibadah korban adalah antara amalan-amalan sunat yang sangat dituntut (Sunat Muakkadah) yang seterusnya dapat melahirkan rasa syukur terhadap nikmat hidup yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Di samping itu, ibadah ini juga dapat memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat sekali gus mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama umat Islam.

Majlis Ibadah Korban ini merupakan antara acara keagamaan tahunan JPM yang mana pada kali ini dikelolakan oleh Bahagian Sekuriti dan Undang-Undang, JPM dengan kerjasama JPA selaku pengendali bersama.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto